A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Thread Started on May 3, 2006, 2:10pm »
25 Ogos 1948 di Jalan Tegas, Kampung Batak, daerah Kaki Bukit, Singapura - lahirlah seorang anak lelaki kepada almarhum Ahmad Masid dan Asmah Raden Ismail diberi nama Ramli. Tiada siapa yang menyangka anak kelima dari keluarga besar seramai 19 orang cahaya mata itu akan menjadi sebutir bintang yang kian menggilap untuk tempoh empat dekad berturut-turut.
KU TERKENANG-KENANG
Ku terkenang-kenang waktu ku kecil Ditimang-timang dan dimanja-manja Terbayang peristiwa itu Di pangkuan ibu menangis berlagu
Apa yang ku hendakkan Diberi dengan segera Supaya aku tidak melalak
Bila teringat masa dahulu Pastilah aku terasa malu-malu Kini aku telah dewasa Ku bersyukur dapat merubah
Hasil ciptaan: A. Ramlie & Kamali Hudi Persembahan: A. Ramlie & The Commandos (P)(C) 1971 Hoover Records, Singapore
Di zaman remajanya, Ramli mula mengasah vokalnya menerusi pertandingan tilawah al-Quran di kampungnya. Dari situ, dia mula berjinak-jinak dengan bidang nyanyian menerusi kugiran The Siglap Five. Oleh sebab kurang keserasian di antara corak muzik kugiran itu dengan cara nyanyian oleh Ramli, maka beliau menyertai kugiran The Rythmn Boys, juara Pertandiran Kugiran Seluruh Singapura 1965. Ketika itu, muzik Melayu pada tahun 1960an mula bertukar corak angkara pengaruh The Beatles dari Britain dan The Shadows dari Amerika. Maka wujudlah suatu gandingan yang digelar A. Ramlie & The Rythmn Boys.
BERGEMBIRA
Bersama kita bergembira Di tepi pantai yang indah Untuk menghiburkan hati yang luka
Berpimpin tangan sambil menyanyi Menghiburkan hati yang sunyi Janganlah risau dan sedih
Marilah menyanyi Bersama-sama kita Berseloka ...... Berseloka ...... Berseloka .....!!
Persembahan: A. Ramlie & The Click IV (P)(C) 1968 Olympic Records, Singapore
Tahun 1966 merupakan sejarah kepada A. Ramlie & The Rythmn Boys apabila mereka dijemput mempersembahkan sebuah lagu ciptaan Salamah Basiron (Hanimasra) berjudul Kenangan Mengusik Jiwa secara langsung dalam rancangan terbitan Asmah Laili bertajuk Lagu Popular Minggu Ini di Radio Singapura. Gandingan suara mendayu-dayu Ramlie dengan alunan muzik oleh Mohamed Ayob Taib (lead guitar), Mohamed Osman Said (rythmn guitar), Mohamed Ali Taib (bass guitar) dan Mohamed Noor Ahmad (drum) memberi hasil yang mantap, menjadikan lagu tersebut tersenarai di dalam carta selama lima tahun berturut-turut. Atas permintaan ramai, maka lagu Kenangan Mengusik Jiwa dan tiga lagu lain - Oh Fatimah, Ingat Padaku dan Seruanku, dirakamkan di bawah label Eagle Record sebagai EP pertama mereka. EP ini mendapat sambutan hangat. Berdasarkan kejayaan ini, maka A. Ramlie & The Rythmn Boys merakam dua lagi EP dengan lagu-lagu popular, di antaranya, Salam Muhibbah, Paduan Kasih dan Hidup Bersama.
KENANGAN MENGUSIK JIWA
Walaupun jauh beribu batu Namun hatiku tetap padamu Senyuman mesra bingkisan rindu Dalam kenangan utus selalu
Duhai sayang cintaku sejati Kenangan masa lalu mengusik hati Indah nian mesra yang tercipta Kenangan masa lalu mengusik jiwa
Biar bertahun dalam kembara Paduan jiwa cinta bertakhta Damai setia lukis di dada Menanti cita sinar bah’gia
Hasil ciptaan: Salamah Basiron (Hanimasra) Persembahan: A. Ramlie & The Rythmn Boys (P)(C) 1966 Teo Kwang Electric (Records) Co.
Entah apa sebabnya, pada tahun-tahun 1967 hingga 1969, vokalis dan kugiran popular ini membawa haluan berasingan selepas kejayaan tersebut. The Rythmn Boys terus menjadi pemuzik latar untuk rakaman penyanyi-penyanyi seangkatan mereka seperti Ramlah Aziz, S. Mariam, Novell, Adnan Othman, S. Ahmad dan M. Amin, selain muncul sebagai artis undangan dalam filem A-Go-Go '67 dan Dosa Wanita. Namun begitu, A. Ramlie terus popular dengan beberapa siri rakamannya dengan kugiran-kugiran lain seperti The Clans, The Click IV, Times Orchestra dan Pancharagam A. Ramlie yang ditubuhkannya sendiri. Di antara lagu-lagu berikutnya yang menjadi siulan ramai termasuklah Ole Ole Temasek, Dendang Anak Tani, Lambaian Desa dan Sejambak Budi Setangkai Hati. Pada tahun 1968, A. Ramlie telah menyertai beberapa artis Melayu lain seperti Rafeah Buang, Ahmad Jais, dan kugiran The Sandblues ke Brunei untuk membuat persembahan dalam satu keramaian istana.
SEJAMBAK BUDI SETANGKAI HATI
Sawah terbentang menguning padi Mengukir pantai saujana pandangan Hati terhutang sejambak budi Tidak bernilai segunung intan
Menguning padi tampaknya indah Petani berdendang seruling jerami Sejambak budi andai tercurah Tetap dikenang sampai ke mati
Terbang sekawan burung kedidi Menawan padi indah pandangan Jasad tertawan sejambak budi Setangkai hati jadi tebusan
Burung kedidi burung merpati Terbang bersama hinggap di batu Sejambak budi setangkai hati Dua jiwa berpadu satu
Hasil ciptaan: Rosnah Ghaffar & A. Ramlie Persembahan: A. Ramlie & The Click IV (P)(C) 1968 Olympic Records, Singapore
Tragedi perkauman 13 Mei 1969 di Malaysia dan kemudiannya merebak ke Singapura telah memudarkan kegilaan terhadap muzik Pop Yeh Yeh secara beransur-ansur. Mulai saat itu, artis-artis seangkatan A. Ramlie mula menyepi seorang demi seorang. Namun begitu, kerjaya beliau dalam bidang seni suara masih diteruskan apabila A. Ramlie menyertai Hoover Records di bawah label Panda mulai tahun 1970. Untuk projek seterusnya, A. Ramlie digandingkan dengan sebuah kugiran dari Indonesia bernama The Commandos. Tidak seperti tahun tahun 1960an dahulu, irama pada lagu-lagunya pada dekad ini lebih dipelbagaikan, daripada irama rancak kepada joget, asli dan sentimental. Rakaman demi rakaman terus dibuat, dengan lagu-lagu seperti Gadis Jururawat, Kau Ingkari Janji, Kasih Jauh Di Mata, Segantang Lada, Ku Tunaikan Janji, Di Suatu Senja dan Nyawa Dan Badan Kalangan Diri. Ketika ini, beberapa komposer baru seperti Yusnor Ef, pasangan adik-beradik Ghaus & Rosnah Ghaffar dan komposer Indonesia seperti Yusaini Amir, Dondo dan M.D. Lingga turut memberi sumbangan ilham masing-masing kepada A. Ramlie yang turut mencipta lagu-lagunya sendiri dalam rakamannya.
NYAWA DAN BADAN KALANGAN DIRI
Puas sudah ku tanam ubi Batasnya juga yang nampak Puas sudah ku tahan hati Makin rusuh menyebak
Embun menitik di tepi bagan Buah cempedak dalam kuali Aku juga mati beragan Dek puan tidak peduli
Pohon jati di dalam taman Taman bernama Putera Sakti Kalau hati sudah berkenan Nyawa dan badan kalangan diri
Gerimis di hujung pulau Pautan layang tedung gumba Ingin hati memandang pulau Ada sampan pengayuh tiada
Persembahan: A. Ramlie & The Commandos (P)(C) 1971, Hoover Records, Singapore
Pada tahun 1971, A. Ramlie telah digandingkan dengan penyanyi wanita Maria Bachok buat pertama kali dalam rancangan hiburan TV Singapura iaitu Istana Pesta. Dikatakan bahawa di Istana Pesta inilah tempat cinta mula berputik, kerana dari situ mereka digandingkan bersama dalam beberapa rakaman EP di bawah label Panda - kali ini diiringi oleh sebuah kugiran dari Johor Bahru iaitu The Nite Walkers. Di antara rakaman duet mereka di waktu itu ialah Patah Tumbuh Hilang Berganti, Itulah Sayang, Tari Selendang, Ingin Berkawan Saja, Antara Sehati Sejiwa dan Setangkai Kembang Melati. Hubungan cinta yang terjalin telah membawa pasangan duet ini ke jinjang pelamin pada tahun 1972. Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan seorang puteri tunggal yang diberi nama Marliana, setahun kemudian. Keluarga ini kemudiannya menetap di Marine Terrace, Singapura.
ITULAH SAYANG
Tanya sama hati apa asal sayang Adakah tandanya nampak dipandang Kumbang rayu bunga bulan dan bintangnya Punya tanda-tanda hubungan mesra
Tanya sama hati mengapa merindu Ingat masa lena apa mimpimu Masa berjauhan apa nan dikenang Jika difahamkan itulah sayang
Jikalau tidak kerana sayang Kuntuman kasih tak mungkin kembang Andainya jemu pengganti rindu Jambangan mesra tentulah layu
Hasil ciptaan: P. Ramlee Persembahan: A. Ramlie, Maria Bachok & The Nite Walkers (P)(C) 1971 Hoover Records, Singapore [Lagu asal nyanyian P. Ramlee & Noormadiah untuk filem Anakku Sazali, 1956]
Penutupan syarikat Hoover Records pada tahun 1974 tidak sekali-kali menutup rezeki A. Ramlie dan Maria Bachok, kerana mereka kemudiannya ditawarkan menjadi artis rakaman oleh Senada Records milik komposer Kassim Masdor, yang turut mengundang beberapa artis lain seperti Rafeah Buang dan Sanisah Huri (dahulunya dari EMI), Rahimah Rahim (dari Hoover) selain mencungkil bakat-bakat baru seperti Adam & Ben dan A. Razak. A Ramlie memulakan rakaman di Senada dengan EP pertamanya Ku Nantikan Kau Pulang (1974) dan diikuti dengan EP duet dengan Maria Bachok berjudul Cahaya Bulan Di Air Tenang (1975). Beberapa EP lain yang dirakam termasuklah Intanku Liana (1975), Lumrah Dunia (1976), Ramalan Bintangku (1976), selain LP misalnya Hanya Bagimu, Kasih Tak Terlerai, Kasih Berbunga Sepanjang Musim dan Kisah Hidup Ini. Pasangan suami isteri ini juga turut merakam sebuah lagu hari raya bertajuk Malam Tujuh Likur.
CAHAYA BULAN DI AIR TENANG
Bila aku terpandang wajah puan yang girang Aku dapat bayangkan itu satu jawapan Tapi bila kau tiada aku rasa terharu Aku cari wajahmu di air yang sedang tenang
Jangan kanda ingatkan perasaan terharu Lihat saja di awan kita sering berjumpa
Cubalah kau lihat cahaya sang rembulan Di air yang tenang alangkah indahnya Itulah ertinya hatiku yang tenang Janganlah hendaknya gelora mendatang
Dinda dapat rasakan wajah di air tenang Hati bertambah sayang bulan menjadi terang Mata kita berpandang wajah di air tenang Hati bertambah sayang bulan menjadi terang
Hasil ciptaan: C.C Senikata: Yusnor Ef Persembahan: A. Ramlie & Maria Bachok (P)(C) 1975 Senada Records, Singapore [Lagu asal nyanyian R. Azmi, rakaman tahun 1950an]
Mulai tahun 1980an, A. Ramlie mula menebarkan sayapnya ke Kuala Lumpur dengan album-album baru seperti Hancurnya Istana Cinta (IMI - 1982), Kisah Lukisan Sepuluh Tahun (IMI - 1984) dan Harapan (Gazco). Pada tahun 1983, A. Ramlie diundang oleh IMI untuk merakamkan kembali lagu-lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sempena 10 tahun kematian beliau (1973 – 1983). Kebangkitan semula irama Pop Yeh Yeh pada tahun 1985 berikutan satu konsert perdana di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur di atas usaha Allahyarham M. Shariff & The Zurah II telah merancakkan kembali kegiatan beliau apabila dipanggil untuk merakamkan kembali lagu-lagu popularnya di bawah label Warnada, dengan iringan semula kugiran ini. Berikutan sambutan hangat terhadap irama ini, A. Ramlie dan Maria Bachok sanggup mengambil risiko berhijrah ke Johor Bahru sebagai penduduk tetap Malaysia bagi mengembangkan kerjaya nyanyian mereka. Sementara menanti peluang-peluang baru, mereka turut menyanyi di Juwita Longe milik penyanyi seangkatan mereka, Hasnah Harun. A. Ramlie juga pernah merakamkan sebuah album tribute untuk Allahyarham Hamzah Dolmat pada tahun 1987 dengan judul Untukmu Penggesek Biola. Malang sekali, jodoh A. Ramlie dan Maria Bachok tidak berpanjangan apabila mereka bercerai pada tahun 1988. Penceraian itu diabadikan oleh beliau dalam lagunya Takdir pada tahun 1991 keluaran Mutiara Records.
TERPISAH AKHIRNYA
Jangan menangis jangan bersedih Sudah suratan kehendak takdir Jaraknya antara kita terpisah jauh Luka hatiku yang pedih jiwa tersiksa
Kisah bercinta antara kita Hanyalah tinggal dalam sejarah Aku menangis sendiri .... pergilah sayang Engkau bukanlah milikku .... lupakan saja
Kini kau hidup riang bersama pemuda itu Oh .... kesal, aku kesal .... kau ragut kasih dariku Ku tahu hatimu tidak dapat melupakan mimpi yang indah Ketika engkau dan aku bermain cinta
Persembahan: A. Ramlie (P)(C) 1984 Iramanada Musical Industries (IMI), Kuala Lumpur
Semenjak itu, beliau kian menyepi dari persada muzik Melayu hinggalah pada tahun 1995 apabila berita mengenai penyakit Parkison yang dideritainya disiarkan dalam akhbar Berita Harian. Menyedari penderitaan itu, sekali lagi, atas usaha M. Shariff dan kugirannya The Zurah II, satu lagi konsert perdana dipanggil Masih Ada Yang Sayang telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1996 bagi mengutip derma untuk membiayai belanja perubatan A. Ramlie. Seperti tahun 1985 dahulu, sejumlah besar penyanyi angkatan Pop Yeh Yeh dikumpulkan semula bagi menjayakan konsert tersebut, di mana A. Ramlie sendiri bersama kugiran The Rythmn Boys mempersembahkan tiga lagu hit mereka. Dalam konsert yang sama, Maria Bachok muncul dengan menyanyikan semula lagu Itulah Sayang secara duet dengan M. Shariff. Sebuah album dengan judul Masih Ada Yang Sayang juga turut dirakam dengan menjemput wartawan-wartawan akhbar yang berkaliber untuk merakam semula lagu-lagu popular A. Ramlie, di mana A. Ramlie sendiri merakam semula lagu Ku Tetap Menunggu. Pada tahun 1996 itu juga, A. Ramlie sempat merakam semula lagu-lagu lama beliau dengan iringan The Rythmn Boys, selain mendendangkan sebuah album baru diberi judul Fatimah II, sempena 30 tahun penglibatan mereka dalam seni muzik (1966 – 1996). Malah, A. Ramlie juga sempat merakam album kompilasi dengan bekas isterinya Maria Bachok, lapan tahun selepas penceraian mereka. Kali terakhir A. Ramlie merakam album ialah pada tahun 1998 dengan tajuk Secawan Kopi terbitan Musicland.
KU TETAP MENUNGGU
Menanti dikau dinda Menuju jalan bahgia Tak ku sangka kecewa
Apakah hendak dikata Hatiku tak berdaya Mananggung derita
Bila ku teringat peristiwa lama Hatiku berdebar, tak mengapa
Tapi ku tetap setia Padamu oh dinda Walaupun ku derita
Hasil ciptaan: The Rythmn Boys Persembahan: A. Ramlie & The Rythmn Boys (P)(C) 1966 Olympic Records, Singapore
Kesihatan A. Ramlie tidak mengizinkan beliau untuk kembali aktif untuk menyara kehidupannya. Namun beliau terus tabah mengharungi sisa-sisa usia senjanya bersendirian. Mujurlah adik-beradiknya berpakat menanggung bersama kos perubatannya. Sementara itu, seorang doktor dari Terengganu yang juga peminat setia A. Ramlie ketika di usia remajanya turut menawarkan bekalan ubat secara percuma. Meskipun begitu, Allah lebih menyayanginya. Tanggal 10 Mei 2001, pada usia 53 tahun, A. Ramlie menghembuskan nafas terakhir di rumah ibunya di Tampines, Singapura. Lebih seribu orang mengiringi jenazahnya untuk dikebumikan di Pusara Abadi. Tiada apa yang ditinggalkan olehnya di atas muka bumi ini, melainkan khazanah berharga untuk santapan telinga para peminatnya .....
PENCARIAN
Apa yang kau cari di maya ini Kedamaian manusia yang telah luput dari hati Telah ditakdirkan dalam dunia ini Manusia hidup fitnah dapat sanjungan tinggi
Kepada kita yang beriman Ketabahan dan kesabaran Itulah pedomannya di dalam perjalanan
Apa yang kau cari di dunia ini Hanya satu yang berkuasa pasti kau menemui
Allah Yang Esa .....
Persembahan: A. Ramlie (P)(C) 1984 Iramanada Musical Industries (IMI), Kuala Lumpur
Joined: Aug 2005 Gender: Male Posts: 72 Location: melaka
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #1 on May 25, 2006, 4:35pm »
konsert 1985 di stadium negara.....fuh..... kalau nak diimbau stadium, merdeka disebelah pun tak sesesak begitu...konsert yang hebat oleh persatuan anak melayu johor.
Joined: May 2006 Gender: Male Posts: 1,254 Location: Pahang
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #3 on Aug 7, 2006, 1:13am »
Ghaz;
Bercerita tentang A.Ramlie, penyanyi yang satu ini memang memiliki suara lunak dan menusuk kalbu. Bukan saja ramai gadis tergila-gilakannya malah pemuda pun terikut-ikut dengan gaya rambutnya yang di panggil style rambut A.Ramlee. Dahsyat kan? Bagi orang seperti saya yang memiliki rambut keras dan kerinting rasa terkilan benar tak dapat menggayakan rambut ala A.Ramlee ketika itu.
Saya paparkan disini sampul EP A.Ramlie berjodol Engkau Kepunyaanku keluaran PANDA RECORDS HRC 6884 yang dah lusuh. Di belakang sampul tertulis penerbit Ahmad Daud dan senikata oleh Yusnor EF. Rahimah Rahim turut menyanyi dalam album ini.
Side A : Engkau Kepunyaanku (A.Ramlie) Joget Satu Hati (duet) Side B: Menangis Sesudah Ketawa (A.Ramlie) Sekata Satu Jiwa (Rahimah Rahim)
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #4 on Aug 7, 2006, 1:02pm »
Terima kasih Effendi!
Nampaknya Effendi sudah melengkapkan koleksi A. Ramlie dengan satu lagi EP selain koleksi saya yang tersenarai di bawah. Saya pernah dengar lagu Engkau Kepunyaanku dari salah sebuah kaset kompilasi arwah keluaran Warna. Kalau Effendi ada lagi rekod A. Ramlie dalam simpanan selain yang ada dalam senarai itu, tunjuklah pada kami ya?
Dulu saya banyak beli kaset-kaset A. Ramlie keluaran Kucing, Warna dan Pancha Alpha tapi semuanya tak tahan lama - main dua tiga kali dah putus pitanya. Teringin juga saya nak beli CD, tapi kebanyakannya rakaman semula dengan muzik moden, dah tu mahal pula harganya - tak sepadan dengan bajet saya sebagai pelajar ketika itu ..... isyyy, sabar aje la!
Kebanyakan rekod Melayu keluaran Panda memang diterbitkan oleh arwah Ahmad Daud. Malah arwah sendiri ada merakam lagu dengan anak saudaranya Rahimah Rahim di bawah label yang sama bertajuk Pakcikku Bergaya (saduran lagu Inggeris bertajuk Summerwild nyanyian asal Nancy Sinatra & Lee Hazelwood). Sebelum ini, arwah merakam dengan EMI.
Sekarang, Effendi boleh dapatkan CD rakaman original 60an oleh A. Ramlie dengan iringan The Rythmn Boys dan The Click IV keluaran semula oleh Musicland, yang sudah diproses secara digital. Harganya RM 12.90 saja. Di muka depan kotak CD itu ada gambar muda A. Ramlie manakala di muka belakang ada gambar ahli-ahli asal The Rythmn Boys, yang tertindih dengan senarai lagu dalam CD itu.
Berikut adalah senarai koleksi rekos A. Ramlie dalam simpanan saya:
5. Ole-Ole Temasek/Bingkisan Rahsia/ Dendang Anak Tani/Lambaian Desa (dgn. The Click IV)
6. Seuntai Kata Semurni Kasih/Keluhan Di Hatiku/Sejambak Budi Setangkai Hati (dgn. The Click IV)
7. Deritaanku/Ku Pergi Dulu/Berubah Hati/Kasih Impian (dgn. Pancharagam A. Ramlie)
8. Carilah Pengganti/Pamanku Tiba/ Kenangan Abang/Seniman (dgn. Times Orchestra)
9. Dendangan Jodoh Berpisah/Sumbangsih/Jangan Ditanya/Curahan Kasih (dgn. The Commandos)
10. Senyum Dalam Derita /Marilah Sayang/Pesananku/Menanti Kasih (dgn. The Commandos)
11. Senyumlah Kasih/Kisah Membawa Kesan /Buah Hatiku Sayang/ Hamba Yang Tak Tahu (dgn. The Nite Walkers)
12. Ayah Merasa Bangga/Ku Menanti/Juwita/ Asmara Dewi (dgn. The Nite Walkers)
13. Berkelah/Bilakah Kan Tiba/ Setangkai Kembang Melati/ Senyum Tanda Kenangan (dgn. The Nite Walkers, feat. Maria Bachok)
14. Antara Sehati Sejiwa/Dendang kasihku/Telefon/ Hati Ingin Bertanya (dgn. The Nite Walkers, feat. Maria Bachok)
15. Ku Nanti Kau Pulang/Senandung Nelayan/ Tunang Tujuh Purnama/Rindu Kasih
16. Intanku Liana/Tiga Gadis Jelita/ Mengapa Hatiku Risau/Dewi Manja
17. Lambang Ikatan Dua Remaja/ Engkau Jadi Sebutan/Lumrah Dunia/ Selamat Tinggal Bungaku
18. Tadika/Pantai Cinta Sayang/ Cahaya Bulan Di Air Tenang (dgn. Maria Bachok)
19. Jauh Dikenang Dekat Disayang/ Joget Adik Sayang/Harapan Baru/ Ramalan Bintangku (dgn. Maria Bachok)
20. Hanya Bagimu/Selera Remaja/ Rambut (feat. Sanisah Huri)/Munafik/ Panjang Umur/Insaf/Teman Sejati/Cinta/Merana/ Pindah Tangan/Seribu Janji/ Menjelang Perkahwinanmu (dgn. Orkes Melayu Awara)
21. Pantun Agama/Hello Hello Sayang (feat. Sanisah Huri)/Gadis Moden/Bertakwalah/ Kasih tak Terleraikan/Kamar Biru/Gengsi/Pertemuan/ Dewi/Perasaan Hati Muda/ Tiga Dosa Besar/Tinggi Semampai (dgn. Orkes Melayu Awara)
Joined: May 2006 Gender: Male Posts: 1,254 Location: Pahang
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #5 on Aug 9, 2006, 1:35am »
Wahhhh banyaknya koleksi rekod A.Ramlie kamu Ghaz. Orang yang membelinya dulu memang terdiri dari keluarga orang berada, jika tidak mana mampu nak beli. Satu EP harganya RM 2.00 kot masa tu. Harga tiket wayang dipanggung pun 60 sen, kerusi depan sekali haha.
Di tahun 60han hingga awal 70han sewa satu band untuk pertunjukan atau majlis rumah orang kahwin baru lima 60 ringgit jer. Kena sewa van pulak nak punggah alat muzik serta pemuziknya sekali. Last-last dapat 7 atau 8 ringgit seorang setelah ditolak duit simpanan oleh pengurus untuk membeli tali gitar dan sebagainya.
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #6 on Aug 9, 2006, 8:40am »
Agaknya nilai RM 2 (tahun 1970 - 1972) tu lebih kurang RM 30 sekarang (2006). Tapi kadangkala naik ralat juga saya, sebab hanya dapat beli 4 lagu dengan harga tu untuk satu EP, kalau CD hanya RM 12.90 dapat 20 lagu! Sekarang, nak beli rekod tu sekali sekala bolehlah .....
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #7 on Aug 9, 2006, 1:55pm »
Saya kalau lagu2 A.Ramlie ni tak berapa ingat sangat. Dulu2 suka jugak lagu 'Lumrah Hidup' tu. Kalau tak silap lagu saduran kan daripada lagu hindi. Ada satu lagu yg saya suka tapi tak tahu tajuk nya. Lagu tu lagu duet beliau dengan Maria Bachok. Lirik dia yg saya ingat terlalu sedikit iaitu ada lebih kurang begini... Wahai suami ku.... (sori la, memang tak ingat langsung). Ada sapa2 leh bagitahu tajuk lagu tu. Mungkin dah ada dalam list Hamlau atau Hasny, tapi saya yg tak perasan. Terima Kasih.
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #8 on Aug 9, 2006, 4:25pm »
Sebenarnya, lagu duet Maria Bachok & A. Ramlie tu sangat banyak, tapi saya kurang minat suara Maria Bachok tu berbanding suara A. Ramlie yang sungguh 'cool'.
Saya suka juga lagu Lumrah Dunia tu. Kebetulan pula saya ada EP-nya.
LUMRAH DUNIA
Apa guna kau rayu diriku Duhai dara... ku tak rela Apa guna kau rayu diriku Duhai dara... ku tak rela Duhai dara... ku tak rela
Kita pernah bercinta berjanji mesra bersama setia Sayangnya kau berdusta memisah cinta pada yang lain Kau tinggalkan ku seorang Dalam kesal dan kecewa
Ingin kau kembali merayu Mengharapkan belas kasih
Engkau pun tahu kini ku dah beristeri dan berbahagia Hidup ku riang dengan cahaya mata ku rukun dan sentosa Tangis sedu mu tak bererti Jangan mengharapkan ku terima
Joined: May 2006 Gender: Male Posts: 1,254 Location: Pahang
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #9 on Aug 10, 2006, 1:47am »
Saya setuju dengan kamu Ghaz, suara Maria Bachok memang tak kena betul bila di gandingkan dengan A.Ramlie sampai saya boycort tak beli album duet tersebut. Lagu saduran hindi nyanyian A.Ramlie saya paling suka ialah lagu Terpisah Jua Akhirnya.
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #10 on Aug 10, 2006, 1:37pm »
Lagu yang Effendi suka tu ada dalam album A. Ramlie bertajuk "Kisah Lukisan Sepuluh Tahun" keluaran IMI pada 1984. Kaset tu ayah saya beli, sangkanya lagu-lagu lama beliau yang kedengaran, tapi yang itu rakaman barunya ketika itu.
Lagu Terpisah Akhirnya ada saya selitkan senikatanya di awal thread ini, cuba Effendi semak semula. Lagu itu disadur dari lagu Hindi nyanyian asal allahyarham Mohamad Rafi bertajuk Aane Se Yuske Aa Yeh Bahar dari filem Jeeni Ki Raah. Lagu ada dua versi - pantas dan perlahan.
Joined: May 2006 Gender: Male Posts: 1,254 Location: Pahang
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #11 on Aug 11, 2006, 1:54am »
TQ Ghaz. Minggu depan sambil bincang hal album Koleksi Album M.Bakri tu saya nak tanya tauke Musicland ada tak dia keluarkan CD lagu-lagu ori A.Ramlie. Dapat beli murah sikit.
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #12 on Aug 11, 2006, 8:45am »
Oh ya ... selain tu, cuba Effendi minta Musicland berikan satu copy rakaman terakhir A. Ramlie untuk lagu Kenangan Mengusik Jiwa yang dinyanyikan secara "unplugged", untuk koleksi Effendi sendiri. Album ni pernah dipromosi dalam TV sedikit masa dulu. Trust me, it would be a precious gem for yourself.
Joined: May 2006 Gender: Male Posts: 1,254 Location: Pahang
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #13 on Aug 19, 2006, 2:00am »
Ia ke Ghaz,
Memang saya ketinggalan banyak maklumat tentang A.Ramlie ni. Insya Allah nanti saya akan tanyakan kepada tauke Musicland. Penerbit album unplugged itu arwah M.Shariff ke?
Joined: May 2006 Gender: Male Posts: 1,254 Location: Pahang
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #15 on Aug 28, 2006, 11:46pm »
Ghaz,
Album Unplugged A.Ramlie tu diterbitkan oleh Razzi M, tapi saya tak dapat beli kerana kesuntukan masa hari tu. Begiitu juga dengan lain-lain album penyanyi 60'han. Bila berurusan lagi nanti saya akan dapatkan dari syarikat tersebut.
Joined: Oct 2005 Gender: Male Posts: 481 Location: Tanjong Malim <---> K.Kangsar
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #16 on Sept 25, 2006, 11:16am »
Quote:
CAHAYA BULAN DI AIR TENANG
Bila aku terpandang wajah puan yang girang Aku dapat bayangkan itu satu jawapan Tapi bila kau tiada aku rasa terharu Aku cari wajahmu di air yang sedang tenang
Jangan kanda ingatkan perasaan terharu Lihat saja di awan kita sering berjumpa
Cubalah kau lihat cahaya sang rembulan Di air yang tenang alangkah indahnya Itulah ertinya hatiku yang tenang Janganlah hendaknya gelora mendatang
Dinda dapat rasakan wajah di air tenang Hati bertambah sayang bulan menjadi terang Mata kita berpandang wajah di air tenang Hati bertambah sayang bulan menjadi terang
Hasil ciptaan: C.C Senikata: Yusnor Ef Persembahan: A. Ramlie & Maria Bachok (P)(C) 1975 Senada Records, Singapore
[Lagu asal nyanyian R. Azmi, rakaman tahun 1950an]
Maaf saya nak bertanya. Adakah lagu CAHAYA BULAN DI AIR TENANG ini nyanyian asal Allahyarham R Azmi atau asalnya sebuah lagu hindustan? Kalau tak silap, saya pernah mendengar lagu tersebut dalam irama hindustan melalui rancangan Hindi Power THR kelolaan DJ Andy Hakim beberapa tahun yang lalu. Malangnya saya terlupa nama penyanyi dan tajuk lagu tersebut. Barangkali ada diantara kita disini yang tahu lebih lanjut akan perkara ini dan harap dapat memberi penjelasan
Bang Selamat: Itulah, kusuruh kau tinggal disini kau menolak. Nah sekarang benar tak kata˛ku?
Si Bongkok: Benar bang Selamat, orang kampung jijik memandang sifatku. Pondok burukku dibakar hangus. Pabila besok fajar menyinsing, aku pergi jauh. Jauh dari masyarakat cantik
Bang Selamat: Mengapa gila sebelum ditakdirkan? Walau kelangit hijau sekalipun kau pergi, namun sipenghina tetap menghina
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #17 on Sept 26, 2006, 8:47am »
Hi Aliph!
Saya rasa lagu Cahaya Bulan Di Air Tenang mirip irama Hindustan, tapi tak pasti tajuk versi Hindinya. Saya biasa juga dengan versi R. Azmi dari Klasik FM, tapi senikatanya jauh berbeza dari nyanyian A. Ramlie & Maria Bachok.
Re: A. RAMLIE - KENANGAN MENGUSIK JIWA « Reply #19 on Oct 2, 2006, 3:08pm »
Lagu "LUMRAH DUNIA " pernah menjuarai LAGU PUJAAN MINGGU INI (LPMI) selama beberapa minggu berturut turut pada tahun 1976..saya masih ingat lagi lagu yang menumpaskan "LUMRAH DUNIA" adalah lagu "SEIRING SEJALAN" lagu duet "BROERY dan SHARIFAH AINI" selain dari itu ada satu lagu ANITA SARAWAK yang sentiasa mendapat tanga ketiga atau keempat iatu lagu saduran "PALOMA LA BLANCA " tapi tajuk dalam bahasa malaysia saya tak ingat .
LELAMAN MUZIK NUSANTARA MEMERLUKAN BANTUAN ANDA!
Beri sumbangan ikhlas agar dapat saya meneruskan perjuangan ini dan jika anda fikir yang saya telah memberikan khidmat yang baik dan berharga. Boleh berikan wang dengan PayPal atau kirimkan Money Order (BUKAN Bank Draft) ke "Aris Aziz, c/o VBox 881392, Singapore Post Centre, Singapore 919191" Terimakasih.
Tiada akaun PayPal? Daftar sekarang!